Saturday 10 January 2015

Kehilangan Yang Tidak Di Duga

Tanggal 7 Januari 2015, Allah telah menjemput semula adik yang amat aku kasihi, belum sempat aku meluangkan banyak masa bersama dengan beliau.  Singkatnya tempoh pertemuan kita, belum puas kita nikmati dan kecapi setiap impian kita di dunia ini. 

Engkau pergi terlalu awal berjumpa dengan Pencipta Teragung kita, janjinya telah tertulis yang tempoh engkau di dunia hanyalah setakat ini sahaja. Kepergianmu juga, sungguh tidak pernah kami menduga, ini merupakan satu tamparan yang sangat hebat buat kita sekeluarga.

Wahai adikku, maaf kerana aku tidak dapat bersama saat kau berjuang bermati - matian sewaktu ingin menyelamatkan diri. Andai ini yang telah tertulis, kami redha akan kepergianmu. Terima Kasih yang tidak terhingga kerana telah menjaga ibu, ayah dan adik dengan sebaiknya.

Terima kasih juga kerana telah menjadi anak, abang, adik serta sepupu dan rakan yang terbaik buat kami semua di sini. Sepanjang kita hidup bersama, tak pernah simpan satu dendam, iri hati mahupun sakit hati kepadamu wahai adik.. sungguh, jika kita bergaduh, sudah lama aku maafkan tak pernah simpan semua itu di dalam hati..

Sampai sekarang rasa sesal yang berkekalan sebab sering gagal menunjukkan kasih sayang dengan cara yang terbaik. Sering kali ade rasa malu untuk semua tu, ini mungkin kerana kita membesar dengan jarak yang jauh. Maaf andai sepanjang kau di dunia, aku sering menyakitimu..

Damai dan tenanglah di sana... walau perit dan payah untuk kami hadapi semua ini, tapi kami yakin dan percaya bahawa Allah sedang memberi ujian buat kita sekeluarga. Seluruh cerita tentangmu akan tertulis di hati-hati kami.. kerana terlalu banyak kenangan kita bersama sehingga kadang kala tak mampu untuk di catat sepenuhnya di sini..

Allah mungkin memberi ujian ini, agar kita sekeluarga dapat mempertingkatkan lagi amalan kita kepada-Nya, kerana kita manusia mungkin terlalu lupa dan alpa dengan setiap ketentuan serta qada' dan qadar yang telah tertulis..

Kejutan ini mungkin dapat menyedarkan ramai orang bahawa ajal dan maut tidak pernah mengenal usia dan waktu. Rindu kami buatmu tidak akan pernah terpadam.. Al fatihah buatmu akan tetap mengiringimu..






 Ya Allah, ampunilah dosa dan kesalahannya, serta berilah kasih sayang kepada dia.
Ya Allah terimalah amalnya dan berkatilah dia di dunia dan di akhirat.
Ya Allah, terangilah dan luaskanlah kuburnya. jadikanlah kuburnya sebahagian dari nikmat syurga. Dan janganlah Engkau jadikan liang kuburnya sebagai liang neraka
Amin… amin… amin, ya rabbal ‘alamin

p/s: Al fatihah buat adikku, semoga rohmu sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

1 comment:

  1. Sega Genesis Classic Classic Game Console with 81 - VCR Video
    This download youtube videos is one of the classic Sega Genesis games for the Mega Drive. It comes with 81 built-in games, 85 built-in games, and a 42-inch cable.

    ReplyDelete