Saturday 17 January 2015

" Dan Sabar Itu Lebih Cantik" : Yusuf 12:18

 

Allahu.. lemah yang selemah lemahnya yang aku rasakan. Rasa tak tertanggung melihat ibu dan ayah seperti kehilangan semangat selepas Engkau menjemput seorang putera di dalam hidup mereka.

Rasa seperti tidak tertanggung rasa kesedihan itu, namun diri ini yakin dan percaya akan setiap ujian yang Engkau berikan kepada kami  ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

Kurniakan lah kekuatan dan ketabahan buat kami sekeluarga.. Berikan kami sinar yang baru agar kami lebih bersemangat untuk menghadapi hari-hari yang bakal mendatang.

Redha.. Redha kita adalah apabila kita tidak lagi berfikir dan bertanya "kenapa? semua ini harus terjadi" kerana Allah adalah sebaik-baik perancang. Tidak kira sehebat mana kita merancang, tetapi jika Allah tidak mengizinkan semua ini pasti tidak akan terjadi.

Diriwayatkan daripada Anas bahawa apabila Rasulullah SAW melihat Ibrahim, putera kesayangan baginda menghembuskan nafas yang terakhir, air mata Rasulullah mengalir deras. Lalu Abdurrahman bin Auf pun bertanya: “Mengapa engkau menangis wahai Rasulullah?”, Baginda menjawab: “Wahai Ibnu Auf, ia adalah air mata rahmat”. Kemudian Rasulullah SAW menyambung: “Sesungguhnya mata itu dapat menitiskan air, hati dapat bersedih dan kami tidak mengatakan sesuatu kecuali yang diredai oleh Allah. Kami sangat bersedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim (Muttafaq ‘alaih).”

Buat ibu dan ayah tabahlah mengahadapi setiap dugaan ini. Alhamdulillah ibu dan ayah mempunyai anak yang sangat baik. Sepanjang tempoh hayatnya di dunia, walaupun nakal tetapi beliau adalah anak yang sangat menyenangkan. Tidak pernah dia menyusahkan kita sekeluarga, dia juga tidak seperti anak muda remaja yang lain. Dia seorang anak yang sangat baik.. apa yang dilarang itulah yang dia tidak akan buat.

Di saat-saat akhir hayatnya juga, dia masih lagi berbakti di dunia.. dia menyelamatkan satu nyawa yang mungkin lebih penting kerana mempunyai tanggungjawab yang lebih besar kepada keluarga. Jasa dan pengorbanannya tidak akan pernah dilupakan kerana doa dan sekalung al-fatihah akan sentiasa mengiringinya.

 

Semoga kita sekeluarga dapat berkumpul semula di syurga kelak.. In shaa Allah kita "Fighting" sama-sama untuk ke Jannah.. Sabar, Ikhlas dan Redha dengan setiap dugaan ini. Amalan kita jangan pernah putus, kerana syurga itu mahal.. terlalu mahal.. dan bukan wang ringgit yang menjadi tiket untuk kita  ke sana.

Saturday 10 January 2015

Kehilangan Yang Tidak Di Duga

Tanggal 7 Januari 2015, Allah telah menjemput semula adik yang amat aku kasihi, belum sempat aku meluangkan banyak masa bersama dengan beliau.  Singkatnya tempoh pertemuan kita, belum puas kita nikmati dan kecapi setiap impian kita di dunia ini. 

Engkau pergi terlalu awal berjumpa dengan Pencipta Teragung kita, janjinya telah tertulis yang tempoh engkau di dunia hanyalah setakat ini sahaja. Kepergianmu juga, sungguh tidak pernah kami menduga, ini merupakan satu tamparan yang sangat hebat buat kita sekeluarga.

Wahai adikku, maaf kerana aku tidak dapat bersama saat kau berjuang bermati - matian sewaktu ingin menyelamatkan diri. Andai ini yang telah tertulis, kami redha akan kepergianmu. Terima Kasih yang tidak terhingga kerana telah menjaga ibu, ayah dan adik dengan sebaiknya.

Terima kasih juga kerana telah menjadi anak, abang, adik serta sepupu dan rakan yang terbaik buat kami semua di sini. Sepanjang kita hidup bersama, tak pernah simpan satu dendam, iri hati mahupun sakit hati kepadamu wahai adik.. sungguh, jika kita bergaduh, sudah lama aku maafkan tak pernah simpan semua itu di dalam hati..

Sampai sekarang rasa sesal yang berkekalan sebab sering gagal menunjukkan kasih sayang dengan cara yang terbaik. Sering kali ade rasa malu untuk semua tu, ini mungkin kerana kita membesar dengan jarak yang jauh. Maaf andai sepanjang kau di dunia, aku sering menyakitimu..

Damai dan tenanglah di sana... walau perit dan payah untuk kami hadapi semua ini, tapi kami yakin dan percaya bahawa Allah sedang memberi ujian buat kita sekeluarga. Seluruh cerita tentangmu akan tertulis di hati-hati kami.. kerana terlalu banyak kenangan kita bersama sehingga kadang kala tak mampu untuk di catat sepenuhnya di sini..

Allah mungkin memberi ujian ini, agar kita sekeluarga dapat mempertingkatkan lagi amalan kita kepada-Nya, kerana kita manusia mungkin terlalu lupa dan alpa dengan setiap ketentuan serta qada' dan qadar yang telah tertulis..

Kejutan ini mungkin dapat menyedarkan ramai orang bahawa ajal dan maut tidak pernah mengenal usia dan waktu. Rindu kami buatmu tidak akan pernah terpadam.. Al fatihah buatmu akan tetap mengiringimu..






 Ya Allah, ampunilah dosa dan kesalahannya, serta berilah kasih sayang kepada dia.
Ya Allah terimalah amalnya dan berkatilah dia di dunia dan di akhirat.
Ya Allah, terangilah dan luaskanlah kuburnya. jadikanlah kuburnya sebahagian dari nikmat syurga. Dan janganlah Engkau jadikan liang kuburnya sebagai liang neraka
Amin… amin… amin, ya rabbal ‘alamin

p/s: Al fatihah buat adikku, semoga rohmu sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.